Labels

Wednesday 23 August 2017

Wanita Bangladesh terjun bangunan.

 
PETALING JAYA: Seorang wanita warga Bangladesh yang cuba melarikan diri daripada ditahan pegawai penguat kuasa, cedera selepas terjun dari tingkat satu Pangsapuri Lagoon Perdana, Bandar Sunway, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, wanita berusia 30-an itu dipercayai nekad terjun dari balkoni selepas menyedari kawasan pangsapuri terbabit diserbu pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia.
Wanita yang tinggal bersama suaminya itu menyambung beberapa helai kain dipercayai digunakan untuk turun melarikan diri.
Namun, cubaan itu gagal apabila dia jatuh terduduk menyebabkan cedera di bahagian pinggul.
Difahamkan, dia melarikan diri kerana tidak memiliki E-Kad, manakala pasportnya dipegang oleh individu yang mendakwa sebagai ejen pekerja asing.
Suami kepada wanita berkenaan mempunyai E-Kad yang sah.
Dalam serbuan di kawasan pangsapuri berkenaan dan premis perniagaan berhampiran, seramai 161 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi yang bermula pada jam 10 malam.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata pihaknya memeriksa 21 premis dan dua blok pangsapuri, yang menempatkan 172 unit rumah.
"Kita telah periksa seramai 342 orang dan 162 daripadanya ditahan, termasuk 33 wanita.
"Daripada jumlah itu, 64 orang dari Bangladesh, 28 dari Indonesia, 23 dari Nepal dan 11 warga Uganda. Selebihnya adalah dari India, Nigeria, Myanmar, Vietnam, Pakistan, Iran dan Filipina.
"Tangkapan dibuat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri; Seksyen 16(1)(c) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas dan permit," katanya.
Mustafar berkata, sejak tamat proses permohonan E-Kad pada 1 Julai lalu, sebanyak 37,000 warga asing telah diperiksa dan 10,000 daripadanya telah ditahan.
"Daripada jumlah itu, 2772 pula kita telah dakwa di mahkamah.
"Seramai 246 majikan pula telah ditahan kerana mengambil PATI bekerja dan 91 daripadanya telah pun dikenakan tindakan," katanya.

Sunday 20 August 2017

Disengat tebuan ketika mengambil lembu.

Fatimah Awang Lah, 70.
Seorang wanita warga emas telah diserang tebuan di Kampung Gerung, dekat Jertih dan terpaksa dikejarkan ke hospital.

Dalam kejadian itu, Fatimah Awang Lah, 70, telah disengat di bahagian muka, hidung, bahu dan kepala.

Kejadian berlaku kira-kira 5.30 petang pada 20 Ogos 2017 ketika hendak mengambil lembunya yang ditambat tidak jauh dari rumahnya.

“Ketika hampir di tempat itu, tiba-tiba datang tebuan tidak tahu dari arah mana menyerang saya. Ketika cuba menyelamatkan diri saya rebah dan kepala jadi pening,” katanya.

Menurutnya, dia bernasib baik kerana ada jiran yang melihat kejadian itu dan membantunya mengejarkannya ke Hospital Besut untuk mendapat rawatan.

“Saya bersyukur kerana terselamat dalam kejadian itu dan hanya mengalami kecederaan,” katanya ketika ditemui di hospital.

Meminta cerai kerana tiada tandas di rumah

Gambar Hiasan

New Delhi: Seorang isteri berjaya menceraikan suaminya selepas mahkamah memutuskan ketiadaan tandas di rumah mereka satu ‘kekejaman terhadap wanita.’
Wanita berkenaan yang berkahwin pada 2011 merayu mentuanya membina tandas di dalam rumah mereka kerana tidak tahan terpaksa keluar ke padang setiap kali mahu membuang air.
Bagaimanapun, permintaannya langsung tidak diendahkan menyebabkan wanita itu akhirnya pulang ke rumah ibu bapanya, dua tahun lalu dan memfailkan cerai.
Susulan itu, Mahkamah Keluarga di Bhilawara, Rajasthan, memutuskan perbuatan mentuanya itu satu kekejaman kerana menyebabkan penyeksaan mental terhadap wanita terbabit.
Hakim Rajendra Sharma menyelar amalan ketiadaan tandas seperti itu sebagai penyakit masyarakat dan memalukan pada abad ke-21 ini.
“Pelik apabila orang tiada masalah berbelanja membeli arak, rokok atau telefon bimbit tetapi bukan untuk membina tandas di dalam rumah,” katanya.

loading...

Popular post :