Chester Bennington |
NEW YORK : Vokalis kumpulan metal terkenal, Linkin Park, Chester Bennington dijumpai mati tergantung di rumahnya semalam, dipercayai akibat membunuh diri.
Pejabat koroner Los Angeles berkata, mereka menerima panggilan sejurus selepas jam 9 pagi (waktu tempatan) yang memaklumkan mengenai penemuan mayat Bennington di kediaman mewahnya di Palos Verdes.
Ketua Operasi pejabat itu, Brian Elias, berkata kes berkenaan disifatkan sebagai kejadian bunuh diri.
Pemain gitar dan komposer utama Linkin Park, Mike Shinoda dalam status beliau di akaun Twitter dipetik sebagai berkata: "Terkejut dan sangat sedih, tetapi ia benar".
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Bennington secara terbuka mengakui mengenai zaman kanak-kanaknya yang penuh bermasalah di Arizona.
Katanya, beliau didera secara seksual selama bertahun lamanya oleh seorang kenalan keluarga dan bertukar menjadi seorang penagih dadah dan alkohol selepas ibu bapanya bercerai ketika berusia 11 tahun.
Kemarahan beliau itu disalurkan kepada muzik beraliran 'heavy metal' tetapi Linkin Park adalah perintis kepada kebangkitan gelombang muzik 'nu metal' yang menggabungkan struktur pop dan hip hop, membabitkan rap oleh Shinoda di antara nyanyian Bennington.
Pada Mei lalu, Bennington juga pernah melahirkan rasa sedih yang begitu mendalam atas kematian rakan karibnya, vokalis kumpulan Soundgarden, Chris Cornell.
Linkin Park sepatutnya memulakan siri jelajah mereka minggu depan yang akan membabitkan persembahan di stadium bola lisut Citi Field di New York bersama beberapa kumpulan terkenal lain, termasuk Blink-182 dan Wu Tang Clan.
No comments:
Post a Comment