PETALING JAYA: Seorang wanita warga
Bangladesh yang cuba melarikan diri daripada ditahan pegawai penguat kuasa,
cedera selepas terjun dari tingkat satu Pangsapuri Lagoon Perdana, Bandar
Sunway, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 10.30 malam itu,
wanita berusia 30-an itu dipercayai nekad terjun dari balkoni selepas menyedari
kawasan pangsapuri terbabit diserbu pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen
Malaysia.
Wanita yang tinggal bersama suaminya
itu menyambung beberapa helai kain dipercayai digunakan untuk turun melarikan
diri.
Namun, cubaan itu gagal apabila dia
jatuh terduduk menyebabkan cedera di bahagian pinggul.
Difahamkan, dia melarikan diri kerana
tidak memiliki E-Kad, manakala pasportnya dipegang oleh individu yang mendakwa
sebagai ejen pekerja asing.
Suami kepada wanita berkenaan
mempunyai E-Kad yang sah.
Dalam serbuan di kawasan pangsapuri
berkenaan dan premis perniagaan berhampiran, seramai 161 pendatang asing tanpa
izin (PATI) ditahan dalam operasi yang bermula pada jam 10 malam.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen
Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata pihaknya memeriksa 21 premis dan dua
blok pangsapuri, yang menempatkan 172 unit rumah.
"Kita telah periksa seramai 342
orang dan 162 daripadanya ditahan, termasuk 33 wanita.
"Daripada jumlah itu, 64 orang
dari Bangladesh, 28 dari Indonesia, 23 dari Nepal dan 11 warga Uganda.
Selebihnya adalah dari India, Nigeria, Myanmar, Vietnam, Pakistan, Iran dan
Filipina.
"Tangkapan dibuat mengikut
Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen
pengenalan diri; Seksyen 16(1)(c) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b)
Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas dan permit,"
katanya.
Mustafar berkata, sejak tamat proses
permohonan E-Kad pada 1 Julai lalu, sebanyak 37,000 warga asing telah diperiksa
dan 10,000 daripadanya telah ditahan.
"Daripada jumlah itu, 2772 pula
kita telah dakwa di mahkamah.
"Seramai 246 majikan pula telah
ditahan kerana mengambil PATI bekerja dan 91 daripadanya telah pun dikenakan
tindakan," katanya.