Labels

Sunday, 17 September 2017

#Kisah benar: Menjadi jutawan selepas berpura-pura kaya.



Semasa krisis ekonomi di Amerika pada 1929, seorang lelaki rasa termanggu dan merasa sangat tertekan kerana dia kehilangan kerja, kereta dan rumah pula terpaksa digadaikan.

Kehidupannya semakin susah kerana wang simpanan semakin habis dan dia perlu menanggung anak dan isteri kelak.

Disebabkan kejatuhan ekonomi, puas dia mencari kerja namun gagal kerana kekurangan peluang pekerjaan ketika ekonomi jatuh itu.

Disebabkan merasa sangat tertekan kerap termenung, dia meminta isterinya untuk meninggalkannya kerana merasakan dia tidak mampu lagi menjadi suami yang baik.

Dalam senyum, si isteri tetap sabar di sisinya. Berusaha membuatkan si suami tertawa dan sentiasa menanamkan dalam jiwa lelaki itu bahawa impiannya untuk berjaya tidak mustahil berlaku.

Pada waktu malam, untuk menghilangkan tekanan, lelaki itu bermain sebuah papan permainan berkaitan jual beli hartanah.

Papan permainan monopoly


Bersama si isteri, mereka berpura-pura menjadi golongan jutawan yang mampu membeli hartanah dan membangunkannya diatas papan permainan tersebut.

Dari situ, lelaki itu mula mendapat idea. Dia mula mereka sebuah papan permainan hartanah yang diilhamkan sendiri dengan banyak penambahan lain. 

Dia turut memasukkan unsur-unsur baru seperti penggunaan kad, pembelian rumah, gedung, hotel dan sebagainya.

Lelaki itu mencipta sistem ekonomi melibatkan pembelian, penyewaan dan pertukaran hartanah menggunakan wang mainan dalam rekaannya itu. 

Isteri dan anaknya turut membantunya melukis dan mewarnakan lakaran konsep permainan yang direkanya itu.

Dengan bantuan seorang rakan yang mempunyai mesin cetak, lelaki itu mencetak lakaran permainannya pada kadbod dalam kuantiti yang kecil dan menjual permainan itu disebuah pasar raya di Philadelphia. Tanpa diduga ia mendapat sambutan hebat.



Setelah berasa yakin dengan idea papan permainan yang diilhamkannya, lelaki itu cuba menawarkan kerjasama dengan Parker Brothers, sebuah syarikat besar yang memasarkan beberapa papan permainan di pasaran.

Malangnya, tawaran lelaki itu ditolak kerana beranggapan produk yang dipatenkannya tidak mungkin akan laku.

Tidak mahu mengaku kalah, lelaki itu menggunakan semula wang hasil jualan permainannya di sebuah pasar raya kecil sebelum itu sebagai modal untuk memasarkan lebih banyak papan permainan ke serata tempat.

Melihat sambutan yang mengejutkan daripada pembeli, akhirnya Parker Brothers akur dan sedia bekerjasama dengan lelaki tersebut.

Pada tahun 1935, akhirnya permainan yang bernama MONOPOLY dipasarkan ke serata tempat dan menjadi hit di pasaran.

Sebanyak 20 ribu set papan permainan dihasilkan setiap minggu, menjadikan ia salah satu papan permainan paling laris jualannya di Amerika Syarikat sebelum berkembang ke seluruh dunia.

Ia dipasarkan ke lebih 100 negara dan turut diterjemahkan dalam hampir 40 bahasa.

Hidup lelaki itu juga berubah. Daripada hidup dalam kesukaran, dia menjadi kaya-raya. Bergelar jutawan pertama untuk golongan pereka alat permainan.

Nama lelaki itu, Charles Darrow.

Charles Darrow, pencipta permainan monopoly


Walaupun Charles sudah meninggal dunia pada 29 Ogos 1967, legasi Monopoly (nama yang diambil sempena konsep monopoli dalam teori ekonomi) tetap berkembang hingga ke hari ini.

No comments:

Post a Comment

loading...

Popular post :