Labels

Friday, 20 October 2017

Sempat Menyelamatkan Diri Ketika Melihat Tiada Tanah Hadapan Rumah - Tuaran Sabah.



Tuaran – Hujan lebat sejak beberapa hari lalu telah menyebabkan sebuah rumah yang didiami oleh empat beranak menggelongsor akibat tanah runtuh di Jalan Longkou, Kiulu.

Kejadian tersebut berlaku pada Khamis lalu 19 Oktober, kira-kira jam 7.30 malam apabila Roddy Selidin bersama isteri dan dua anakya berusia satu tahun dan lima tahun itu baru selesai makan malam.

Rumah tersebut telah menggelongsor beberapa meter daripada tapak asal turut menimbus motorsikal miliknya. Runtuhan dipercayai berpunca daripada mendapan akibat hujan lebat.

Roddy yang bekerja di sebuah syarikat di Telipok, pinggir Kota Kinabalu, berkata kejadian disedari isterinya ketika hendak memberi makan kucing peliharaan di depan rumah.




"Sebaik membuka pintu, isteri terkejut apabila melihat tiada tanah di hadapan rumah kami dan dia kemudian menjerit 'lari tanah runtuh'.
"Saya segera mengambil dua anak dan lari ke jalan raya. Tidak lama kemudian saya lihat rumah kami menggelongsor ke bawah perlahan-lahan.

"Kami sebenarnya tak sedar berlaku tanah runtuh sehinggalah isteri membuka pintu kerana tiada merasai gegaran. Apa pun kami bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mereka kini terpaksa menumpang di rumah keluarga mentuanya yang tidak jauh dari rumahnya buat sementara waktu.

"Buat masa sekarang, bomba tidak benarkan kami masuk ke dalam rumah walaupun untuk mengambil barang kerana bimbang berlaku lagi pergerakan tanah yang boleh membahayakan keselamatan.

"Saya berharap ada pihak tampil membantu meringankan beban saya dan keluarga selepas ditimpa musibah ini," katanya lagi.

Selain itu, laluan yang menghubungkan Kampung Longkou di ke Pekan Telipok turut terputus berikutan tanah runtuh akibat hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

No comments:

Post a Comment

loading...

Popular post :