PUTRAJAYA
– Berikutan larangan Kedutaan Arab Saudi bagi penjualan air zam zam di
mana-mana kedai, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini akan mengambil
tindakan penguatkuasaan terhadap air zam zam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata mereka yang
disabitkan kesalahan menjual air zam zam boleh dikenakan denda tidak melebihi
RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun di bawah Peraturan-Peraturan
Makanan 1985.
“Sejak 2012 sehingga Oktober ini, sejumlah air zam zam bernilai RM58,191.80
telah dirampas melalui hasil penguatkuasaan yang telah dijalankan,” katanya
dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, perkara ini telah dipersetujui oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
(Jakim) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
(KPDNKK) memandangkan penguatkuasaan adalah di bawah bidang kuasa KKM.
Katanya pihaknya melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sedang
mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan air zam zam berdasarkan
Seksyen 4 (1) (f) Akta Makanan 1983.
Dr Noor Hisham berkata air zam zam diperoleh dari bawah tanah dan dikategorikan
sebagai air mineral semula jadi seperti termaktub di bawah Peraturan 360A,
Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
“Pengimportannya memerlukan lesen punca air serta kelulusan dan pengesahan
daripada pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport,” jelas
beliau.
Katanya, kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan pengedaran air zam zam secara
percuma kepada jemaah haji dan umrah serta pelawat untuk kegunaan persendirian
dalam kuantiti yang terhad selepas berlepas dari Arab Saudi.
“Kementerian sedang meningkatkan tindakan penguatkuasaan ke atas penjualan air
zam zam memandangkan ia tidak dibenarkan di Malaysia,” katanya.
Kepada pengguna yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai isu keselamatan, Dr
Noor Hisham berkata mereka boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau
Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau
www.facebook.com/bkkmhq.
No comments:
Post a Comment