Antara Pasukan Petugas Khas yang menjalankan siasatan isu 1MDB |
KUALA LUMPUR - Pasukan
Petugas Khas memaklumkan bahawa mereka sudah mengetahui isu (1MDB) mengenai
dakwaan RM2 juta yang dimasukkan ke dalam akaun Rosmah isteri Perdana Menteri.
"Selanjutnya berkaitan dengan pendedahan media mengenai akaun isteri
perdana menteri, perkara itu sememangnya sudah diketahui oleh pasukan petugas
khas sebelum pendedahan itu dan siasatan mengenainya sedang dikendalikan,"
kata Pasukan Petugas Khas itu dalam satu kenyataan media.
Kenyataan media itu dikeluarkan bersama oleh ketua-ketua di Jabatan Peguam
Negara, Bank Negara, Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM).
Pasukan Petugas Khas itu
dalam kenyataannya turut menegaskan siasatan dijalankan dengan telus, bebas dan
profesional serta berharap semua pihak tidak mempersoalkan kewibawaan mereka.
"Semua pendedahan itu dipandang serius oleh Pasukan Petugas Khas dan
siasatan akan dibuat serta kenyataan diambil daripada semua orang yang
berkenaan," kata kenyataan itu lagi.
Pada Khamis, Sarawak Report mendakwa isteri perdana menteri menerima deposit
dengan jumlah keseluruhan RM2 juta, di antara 10 Februari dan 23 April tahun
ini.
Jumlah itu didakwa didepositkan seorang "pembantu peribadi" bernama
Roslan Sohari menerusi lapan transaksi ke dalam akaun Affin Bank milik
"Rosmah Binti Mansor (Datin Sri)" di cawangan Bangunan Getah Asli
Kuala Lumpur.
Sementara itu, portal berita Malaysiakini dilapor sudah menghubungi
seorang pembantu Rosmah dan masih menunggu reaksi pihak beliau.
No comments:
Post a Comment