PENAMPANG – Dua lelaki sanggup menunggang motorsikal sejauh 400 lebih kilometer dari Tawau ke Penampang hanya untuk berlumba haram pada malam minggu.
Mereka juga menunjukkan aksi berbahaya seperti aksi ‘Superman’ sehingga menimbulkan rasa kurang selesa kepada pengguna jalan raya yang lain.
Namun dalam Op Samseng Jalanan dan Lumba Haram, mereka akhirnya ditahan oleh polis di Jalan Papar – Kota Kinabalu pada jam 3.30 pagi.
Operasi itu dijalankan polis dari Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, dengan kerjasama Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim, berkata sepasukan polis yang menjalankan operasi di kawasan itu mengesan dua motosikal yang terbabit dalam lumba haram.
"Anggota polis kemudian mengekori motosikal ditunggang dua lelaki terbabit dan memerhatikan aksi-aksi mereka antaranya aksi 'superman' di sepanjang jalan itu.
"Polis kemudian menahan dua lelaki terbabit kerana menunggang secara berbahaya," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, pemeriksaan mendapati kedua-dua lelaki terbabit dari Tawau datang ke Kota Kinabalu untuk berlumba haram di daerah ini.
"Kedua-dua suspek berusia 20 hingga 25 tahun bersama motosikal mereka dibawa ke IPD Penampang untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
No comments:
Post a Comment