Suspek lelaki yang lengkap berpakaian wanita ketika ditahan. |
SUBANG JAYA - Seorang pemuda
yang menyamar sebagai perempuan telah dicekup selepas mencuri barangan milik Jemaah
surau di Bandar Sunway, malam kelmarin.
Suspek tersebut ditangkap
oleh seorang anggota polis wanita yang kebetulan hendak solat di surau itu,
sebelum ternampak suspek melarikan barang milik seorang Jemaah kira-kira jam
9.29 malam.
Suspek tersebut berpakaian
blaus hitam berlengan panjang, berseluar panjang kelabu dan bertudung krim
sertta memakai kasut wanita.
Ketua Polis Daerah Subang
Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Azlin Sadari, berkata mangsa hanya menyedari
beg dompet yang diletakkan di sebelahnya hilang selepas dia selesai bersolat.
"Lebih kurang jam 8.40
malam, mangsa yang juga pelajar sebuah kolej wanita berusia 19 tahun ke surau
itu untuk bersolat dan meletakkan beg dompetnya serta serangkai kunci di
sebelahnya.
"Selesai solat, mangsa
mendapati beg dompetnya lesap dan barang yang tinggal hanyalah serangkai kunci,
kad pengenalan serta kad bank miliknya," katanya dalam satu kenyataan,
hari ini.
Katanya, mangsa terus
bergegas keluar dan mengadukan hal itu dengan seorang pengawal keselamatan,
namun diberitahu pencuri terbabit sudah terlebih dulu ditangkap dan dibawa ke
balai polis.
Kata beliau lagi, mangsa
membuat laporan di Balai Polis Sunway dan dalam pada itu, polis merampas satu
beg dompet, wang tunai RM408.30 dipercayai milik mangsa serta sebuah telefon
bimbit daripada suspek.
"Pemeriksaan lanjut ke
atasnya mendapati 'wanita' itu adalah seorang lelaki dan mempunyai beberapa
rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah dan curi.
"Semakan turut
mendapati suspek baru sahaja dibebaskan dari Penjara Kajang 11 hari lalu. Suspek
kini direman sehingga Rabu depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 308 Kanun
Keseksaan," katanya.
No comments:
Post a Comment