Pada bulan Ramadhan,
terdapat satu malam yang paling tinggi kedudukannya dalam Islam. Ia adalah
malam Lailatul Qadar, anugerah terbesar Allah SWT kepada manusia.
Allah SWT akan meningkatkan
darjat hamba-Nya serta mengurniakan pahala sebanyak 1,000 bulan kepada
hamba-Nya yang melakukan amal ibadat pada malam tersebut.
Kelebihan malam Lailatul Qadar boleh dilihat menerusi firman Allah
SWT yang bermaksud, "Malam Lailatul Qadar lebih baik dari seribu
bulan." Al-Qadr: 3
Rasulullah SAW juga ada menyebut tentang kelebihan malam Lailatul Qadar dalam
sabdanya yang bermaksud, "Sesiapa
yang menghidupkan malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan
mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa yang telah lepas dan sesiapa
yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala,
maka diampunkan baginya dosa yang telah lepas." HR Bukhari dan Muslim
Al-Qur'an dan hadis-hadis sahih ada menjelaskan tentang detik-detik
berlakunya Lailatul Qadar, namun ulama berselisih pendapat tentang bila
berlakunya malam Lailatul Qadar.
Berdasarkan pada dalil-dalil tersebut, bolehlah disimpulkan bahawa, Lailatul
Qadar jatuh pada salah satu malam yang ganjil pada sepuluh malam terakhir
bulan Ramadhan.
Rasulullah SAW bersabda, "Carilah Lailatul Qadar pada
malam-malam yang ganjil daripada sepuluh malam terakhir pada bulan
Ramadhan." HR Bukhari
Tujuh Malam Terakhir Ramadhan
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Carilah pada sepuluh malam terakhir,
yakni Lailatul Qadar. Jika seseorang kamu lemah atau tidak mampu maka
janganlah dia tertewas pada baki tujuh malam yang terakhir." HR Muslim
Malam 27 Ramadhan
Berpandukan kepada hadis daripada Ubai bin Ka'ab r.a. yang bermaksud,
"Demi Allah sesungguhnya aku tahu pada malam bilakah ia, itulah malam yang
mana Rasulullah SAW telah menyuruh kami untuk beribadah, iaitu malam ke
27."
Ubai berkata lagi, "Melalui tanda-tanda dan alamat yang dikhabarkan oleh
Rasulullah kepada kami bahawasanya matahari yang akan terbit pada harinya tiada
sinarnya." HR Muslim
Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment