Labels

Monday, 4 September 2017

IPT demi mengaut keuntungan, longgarkan syarat kemasukan pelajar.

Kekurangan kelengkapan, radas terpaksa dikongsi.

PROSES pengambilan pelajar di IPT ini didakwa amat longgar kerana pelajar yang berada di bawah gred juga diterima masuk dan mengikuti kursus kritikal seperti kejururawatan, sains perubatan dan farmasi.

Kata Lan, beberapa pelajar yang ditemuinya amat lemah dalam bahasa Inggeris sedangkan mata pelajaran itu wajib lulus untuk mengikuti kursus di IPT ini.

“Beberapa pelajar yang saya temui, mereka tak tahu beza three (tiga) dengan tree (pokok).

"Selain itu mereka amat lemah dalam bahasa Inggeris sedangkan banyak terma kejururawatan dan farmasi menggunakan bahasa Inggeris. Kami terpaksa ajar mereka dari awal dan ia mengganggu pelajar-pelajar lain,” katanya.

Dakwanya lagi, oleh sebab kelemahan ini, beberapa hospital kerajaan tidak lagi menerima pelajar dari pusat pengajian tinggi ini untuk mengikuti kursus praktikal di sana.

“Saya sebagai pensyarah amat sedih dengan perkara ini. Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Namun kerana mahu kaut untung, pengurusan tangkap muat pelajar-pelajar ini dan ia menggugat masa depan mereka,” katanya.

Selain itu, Lan turut mendedahkan ada pensyarah lain secara diam-diam mencadangkan pelajar yang datang untuk pengambilan supaya mengutamakan pusat pengajian tinggi lain sebelum menerima untuk masuk ke sini.

“Ada pensyarah menceritakan kepada saya mereka terpaksa buat begitu kerana kemudahan pusat pengajian ini yang amat tidak cukup. Pelajar yang datang memperoleh keputusan Sijil Pelajaran Malaysia yang hebat dan mereka datang ke sini kerana menjangkakan pusat pengajian tinggi ini cukup lengkap tetapi sebenarnya tidak,” dakwanya.


Pelajar tidak selesa

Selain itu, seorang pelajar bernama Nur memberitahu, dia dan rakan-rakannya amat tidak selesa sepanjang belajar di pusat pengajian tinggi ini.

Katanya, ia kerana kekurangan kemudahan tidak seperti di pusat-pusat pengajian tinggi yang lain di mana walaupun ada kekurangan ia tidaklah seperti yang dialaminya.

“Mula-mula masuk ke sini, saya ingat pusat pengajian ini seperti yang digambarkan dalam iklan tetapi jauh sekali. Saya sudah setahun di sini, apa yang saya boleh buat hanya teruskan,” katanya.

Ditanya mengenai kemudahan asrama, Nur berkata, asrama mereka selalu terputus bekalan air dan ia menyukarkan mereka untuk ke kelas.

“Asrama kami juga panas, pengudaraan yang tidak baik. Tapi itu tak mengapa, yang menjadi masalah bila bekalan air terputus, kadang-kadang kami tak mandi pun sebelum masuk kelas,” katanya.


No comments:

Post a Comment

loading...

Popular post :