Labels

Tuesday, 21 November 2017

B9, Ambulans Tajaan Malaysia Menjadi Sasaran Serangan di Syria

B9, ambulans sumbangan rakyat Malaysia

Kuala Lumpur – Sebuah ambulans yang dikenali B9 hasil sumbangan rakyat Malaysia telah musnah dalam satu serangan udara di Idlib Syria Jumaat lalu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Lifeline for Syria (MLFS), Syahrir Azfar Salleh, serangan itu dipercayai dilakukan oleh tentera kerajaan Syria yang menyebabkan lima buah ambulans lain musnah dan tiga orang awan terkorban.

“Sebanyak 10 lagi pegawai perubatan cedera namun tentulah yang menyedihkan apabila B9 hancur sedangkan pembelian ambulans tersebut ditaja sepenuhnya oleh rakyat Malaysia sebagai tanda keprihatinan rakyat negara ini terhadap mangsa-mangsa konflik di Syria.

Keadaan B9 sebelum serangan tentera Syria

“Kita perlu mengutuk serangan ini kerana kenderaan-kenderaan tersebut begitu berjasa kerana telah menyelamatkan ratusan nyawa rakyat Syria dan tidak sepatutnya menjadi sasaran serangan,” katanya dalam satu kenyataannya.

Katanya lagi, B9 adalah salah satu daripada 100 buah ambulans yang menyertai konvoi perpaduan menghantar ambulans dari United Kingdom ke Syria April lalu.

“Pada Jun lalu, ambulans B9 lengkap dengan bendera Malaysia, Jalur Gemilang telah dirakam oleh badan penyiaran British Broadcast Company (BBC) apabila berjaya menyelamatkan mangsa-mangsa serangan bom di Idlib beberapa jam selepas memasuki Syria,” katanya.

Keadaan B9 selepas diserang

Menurutnya, sebanyak tujuh daripada 100 ambulans yang terlibat dalam konvoi perpaduan ini telah ditaja oleh rakyat Malaysia melalui beberapa buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk misi kemanusiaan.

“Iaitu, Muslim Volunteer Malaysia, Tangisan Syria Di Bumi Jordan, Global Peace Mission dan rakan korporat Affin Islamic, selain MLFS sendiri.

“Kita meminta rakyat negara ini terus mendoakan kedamaian di Syria dengan baki ambulans yang ada di sana tidak lagi menjadi sasaran serangan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

loading...

Popular post :