Labels

Saturday, 17 February 2018

Dua Lelaki Sanggup Menunggang Dari Tawau ke Penampang untuk Berlumba Haram



PENAMPANG – Dua lelaki sanggup menunggang motorsikal sejauh 400 lebih kilometer dari Tawau ke Penampang hanya untuk berlumba haram pada malam minggu.

Mereka juga menunjukkan aksi berbahaya seperti aksi ‘Superman’ sehingga menimbulkan rasa kurang selesa kepada pengguna jalan raya yang lain.

Namun dalam Op Samseng Jalanan dan Lumba Haram, mereka akhirnya ditahan oleh polis di Jalan Papar – Kota Kinabalu pada jam 3.30 pagi.

Operasi itu dijalankan polis dari Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, dengan kerjasama Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim, berkata sepasukan polis yang menjalankan operasi di kawasan itu mengesan dua motosikal yang terbabit dalam lumba haram.

"Anggota polis kemudian mengekori motosikal ditunggang dua lelaki terbabit dan memerhatikan aksi-aksi mereka antaranya aksi 'superman' di sepanjang jalan itu.

"Polis kemudian menahan dua lelaki terbabit kerana menunggang secara berbahaya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, pemeriksaan mendapati kedua-dua lelaki terbabit dari Tawau datang ke Kota Kinabalu untuk berlumba haram di daerah ini.

"Kedua-dua suspek berusia 20 hingga 25 tahun bersama motosikal mereka dibawa ke IPD Penampang untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Monday, 5 February 2018

Lelaki Menyamar sebagai Wanita Bertujuan Mencuri

Suspek lelaki yang lengkap berpakaian wanita ketika ditahan. 

SUBANG JAYA - Seorang pemuda yang menyamar sebagai perempuan telah dicekup selepas mencuri barangan milik Jemaah surau di Bandar Sunway, malam kelmarin.

Suspek tersebut ditangkap oleh seorang anggota polis wanita yang kebetulan hendak solat di surau itu, sebelum ternampak suspek melarikan barang milik seorang Jemaah kira-kira jam 9.29 malam.

Suspek tersebut berpakaian blaus hitam berlengan panjang, berseluar panjang kelabu dan bertudung krim sertta memakai kasut wanita.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Azlin Sadari, berkata mangsa hanya menyedari beg dompet yang diletakkan di sebelahnya hilang selepas dia selesai bersolat.

"Lebih kurang jam 8.40 malam, mangsa yang juga pelajar sebuah kolej wanita berusia 19 tahun ke surau itu untuk bersolat dan meletakkan beg dompetnya serta serangkai kunci di sebelahnya.

"Selesai solat, mangsa mendapati beg dompetnya lesap dan barang yang tinggal hanyalah serangkai kunci, kad pengenalan serta kad bank miliknya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, mangsa terus bergegas keluar dan mengadukan hal itu dengan seorang pengawal keselamatan, namun diberitahu pencuri terbabit sudah terlebih dulu ditangkap dan dibawa ke balai polis.

Kata beliau lagi, mangsa membuat laporan di Balai Polis Sunway dan dalam pada itu, polis merampas satu beg dompet, wang tunai RM408.30 dipercayai milik mangsa serta sebuah telefon bimbit daripada suspek.

"Pemeriksaan lanjut ke atasnya mendapati 'wanita' itu adalah seorang lelaki dan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah dan curi.

"Semakan turut mendapati suspek baru sahaja dibebaskan dari Penjara Kajang 11 hari lalu. Suspek kini direman sehingga Rabu depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 308 Kanun Keseksaan," katanya.
loading...

Popular post :