Satu masa dulu dalam penghujung era tahun
80-an, syarikat elektronik Jepun, Sony sedang bekerjasama dengan syarikat
Belanda, Philips dalam membangunkan format CD-ROM.
Pada zaman tersebut, konsol
permainan elektronik kebanyakannya masih menggunakan katrij yang terhad
kapasitinya jadi format CD-ROM merupakan sesuatu yang dilihat bakal mengubah
industri konsol permainan elektronik.
Syarikat Jepun, Nintendo pada ketika itu adalah syarikat permainan video
terbesar di dunia namun mereka tidak mempunyai kepakaran dalam membangunkan
konsol yang mampu membaca CD-ROM.
Jadi, Nintendo meminta kerjasama Sony untuk membantu mereka.
Kerjasama pertama Nintendo dan Sony
Sebenarnya, kedua-dua buah
syarikat Jepun terkenal itu telah pun bekerjasama untuk menghasilkan cip audio
yang dipasang pada semua konsol Super Nintendo.
Cip audio yang dinamakan SPC-700 dihasilkan oleh Sony mampu menghasilkan
kualiti audio yang dikatakan setanding kualiti audio CD.
Nintendo yang bergantung kepada storan berbentuk katrij yang kapasitinya terhad
serta memerlukan kos yang agak tinggi untuk dihasilkan, merasakan pengalaman
Sony membangunkan CD-ROM adalah peluang kerjasama yang tidak perlu dilepaskan.
Syarikat-syarikat permainan video lain seperti NEC dan SEGA ketika itu, sudahpun
melancarkan peranti pemain CD-ROM.
Ini membuatkan Nintendo sebagai gergasi nombor 1 permainan video, dilihat
ketinggalan di belakang.
Cip audio SPC-700 hasil kerja jurutera Sony bernama Ken Kutaragi membuatkan
Nintendo yakin dengan kebolehan Sony, lalu kedua buah syarikat bersetuju untuk
mengadakan kerjasama buat kali kedua, dalam membangunkan peranti CD-ROM bagi
disambungkan pada konsol Super Nintendo sedia ada.
Sony mahu masuk ke dalam
industri permainan video
Kegagalan usaha Sony dalam
industri permainan video menerusi peranti komputer MSX, serta sambutan dingin
terhadap rumah penerbitan perisian Sony Imagesoft membuktikan Sony perlu
mencari rakan yang berpengalaman, bagi membantu mereka memecah masuk ke dalam
industri yang asing bagi mereka.
Melihat sendiri kegilaan masyarakat dunia terhadap Nintendo Gameboy, Sony sedar
potensi yang ada sekiranya mereka meluaskan perniagaan mereka ke dalam bidang
baru.
Pembangunan peranti penyambung CD-ROM oleh Sony untuk konsol Super Nintendo
bermula lewat tahun 1990 dengan teknologi yang dibangunkan Sony jauh mendahului
pesaing-pesaing terdekat Nintendo ketika itu.
Bagaimanapun, kerjasama Nintendo dan Sony untuk kali kedua ini berdepan
beberapa cabaran baru.
Melihat Sony yang ingin turut sama dalam industri permainan video, Nintendo
tidak mahu dominasi mereka dicabar rakan kongsi sendiri.
Perjanjian kedua-dua syarikat pada mulanya memerlukan Sony membangunkan peranti
tambahan CD-ROM sahaja untuk Super Nintendo.
Namun, Sony meminta kebenaran untuk membangunkan sendiri satu lagi konsol yang
mempunyai keupayaan memainkan katrij Super Nintendo dan format CD-ROM Sony
serentak.
Dari situlah Sony melahirkan idea yang dinamakan SNES Playstation.
Taktik keji Nintendo
Perjanjian itu dirasakan berat sebelah oleh Nintendo kerana Sony bukan sahaja
mendapat hak kawalan royalti pelesenan penerbitan format CD-ROM untuk konsol
mereka bersama, malahan Nintendo tidak mahu Sony mengacau periuk nasi mereka
selama ini dengan konsol eksklusif Sony.
Bagaimanapun, Nintendo tetap memerlukan peranti CD-ROM untuk dipasang pada
konsol mereka.
Secara senyap-senyap, Nintendo mula bekerjasama dengan Philips membangunkan
peranti serupa, tanpa pengetahuan Sony.
Tembelang jahat Nintendo terdedah pada Ekspo Elektronik yang dianjurkan pada
tahun 1991.
Sony menggunakan ekspo tersebut untuk mempamerkan format CD-ROM baru yang telah
mereka bangunkan serta konsol pemain CD-ROM untuk Super Nintendo.
Keesokannya, dalam ekspo yang sama, Nintendo mengumumkan kerjasama dengan
syarikat Philips untuk membangunkan peranti yang mempunyai fungsi sama yang
baru saja diumumkan oleh Sony.
Ini menjadi satu tamparan yang amat hebat pada Sony dan nyata sukar diterima,
kerana Nintendo menikam Sony daripada belakang.
Nintendo menang dalam pusingan pertama ini dengan cara keji, menjadikan salah
satu peranti yang telahpun diusahakan oleh Sony mati sebelum sempat merasai
nyawa.
Meneruskan kerjasama walaupun berseteru
Walaupun diperlakukan sebegitu rupa, pelaburan yang telah dicurahkan oleh Sony
dalam membangunkan SNES Playstation agak besar dan tidak boleh dipinggirkan
sebegitu saja.
Sony dan Nintendo kembali ke meja rundingan bagi meneruskan usaha menghasilkan
SNES Playstation.
Kedudukan Nintendo yang pada ketika itu dilihat kukuh sebagai peneraju industri
serta Sony yang terdesak mahu meneruskan pelaburan, menyebabkan perjanjian baru
di antara kedua syarikat kini lebih memihak kepada Nintendo.
Nintendo berjaya meminda perjanjian supaya hak pengawalan royalti penerbitan
bagi SNES Playstation lebih menguntungkan pihak mereka.
Sony sedar Nintendo kini menguasai perjanjian
Prototaip SNES Playstation yang berfungsi berjaya dibangunkan oleh Sony namun
Nintendo seperti sengaja melengah-lengahkan kerjasama peringkat seterusnya.
Melihat sikap Nintendo ketika itu, Sony menuntut mengadakan rundingan semula.
Kedua-dua syarikat mengumumkan pembatalan kerjasama mereka.
Ini menyebabkan SNES Playstation yang sudah siap berfungsi menjadi projek yang
terpaksa diabaikan oleh Sony begitu saja.
Setakat ini, hanya sebuah unit prototaip SNES Playstation yang disiapkan Sony
telah dijumpai dan berjaya dibaiki semula.
Sony belajar berdikari
Ken Kutaragi ketika itu
melihat segala usahanya selama ini hampir menjadi sia-sia.
Dia melihat potensi daripada apa yang telah mereka lalui.
Berunding dengan pihak atasan Sony, Ken berjaya meyakinkan mereka bahawa Sony
sebenarnya mampu meneruskan cubaan mereka masuk ke dalam industri permainan
video, tanpa bergantung dengan Nintendo.
Beberapa penambahbaikan dikenali dan cuba diusulkan Ken serta pasukannya.
Sistem prosessor dan cip grafik yang mampu menghasilkan gambar 3 dimensi patut
dijadikan asas perkakasan konsol baru Sony.
CD-ROM adalah storan yang perlu digunakan bagi memastikan tiada masalah storan
timbul.
Grafik yang perlu dicapai konsol baru Sony sepatutnya setaraf dengan
mesin-mesin di arked yang popular ketika itu.
Walaupun begitu, cadangan Ken bagi meneruskan projek mereka ditolak pihak
pengurusan Sony.
Pelaburan merekabentuk konsol bersama Nintendo selama beberapa tahun tidak
membawa apa-apa pulangan, yang akhirnya menyebabkan kerugian besar pada Sony.
Melihat alasan pengurusan Sony, Ken Kutaragi mula mempersoalkan adakah patut
syarikat sebesar Sony membiarkan saja maruah mereka tercalar, berdasarkan apa
yang dilakukan Nintendo?
Sony sebagai sebuah syarikat yang mementingkan tradisi sedar perlunya mereka
mengembalikan semula reputasi yang telah tercalar.
Ken Kutaragi diberikan peluang serta sokongan untuk meneruskan projeknya dengan
harapan besar.
Kemunculan Sony Playstation yang mengambil alih pasaran
Pada hujung tahun 1994, Sony
melancarkan konsol pertama mereka.
Sony Playstation adalah sebuah konsol 32 bit yang jauh lebih berkeupayaan
berbanding konsol-konsol lain ketika itu.
Sokongan penerbit dan pengeluar besar seperti Namco dan Squaresoft (ketika itu)
membantu Sony menguasai pasaran dan seterusnya memecahkan dominasi Nintendo.
Penggunaan grafik 3 dimensi dalam Playstation menjadikan peminat mula beralih
arah.
Tidak lama selepas Playstation dilancarkan, Nintendo mengeluarkan konsol baru
mereka Nintendo 64 yang lebih berkuasa berbanding Playstation.
Namun, Nintendo 64 kekal menggunakan storan katrij yang terhad kapasitinya.
Pengeluar permainan video pada ketika itu sudah mula bereksperimentasi
mengadunkan video dalam permainan menyebabkan banyak projek lebih mudah dibina
dengan Playstation yang menawarkan storan CD-ROM.
Sony Playstation menjadi konsol elektronik komputer pertama di dunia yang
mencapai angka jualan 100 juta unit.
Selepas pelancarannya pada tahun 1994, konsol terakhir Playstation dijual pada
tahun 2004 sebelum ditamatkan sepenuhnya sokongan untuknya pada tahun 2006.
'Adiknya', Playstation 2 dilancarkan pada tahun 2000 menjadi konsol permainan
video paling laris di dunia dengan jualan 155 juta unit dan gelaran itu kekal
disandang sehingga kini, belum dapat dipecahkan oleh mana-mana syarikat pesaing
mahupun Sony sendiri.
Pencapaian itu sebenarnya sangat-sangat mengagumkan kerana tanpa
kejadian-kejadian memalukan menimpa Sony yang dilakukan oleh syarikat Nintendo,
Sony Playstation berkemungkinan besar tidak akan terhasil dan dominasi Nintendo
dalam bidang permainan video, tidak dapat dipecahkan.
Kini, Playstation telah masuk versi ke empat dan Sony masih berjaya mengekalkan
penguasaan mereka dalam industri yang disertai, hanya selepas dipermainkan oleh
rakan kerjasama mereka.